Rabu, 13 Mac 2013

Soalan untuk Tuhan.

Ini adalah kisah seorang  lelaki sarkastik yang mempunyai senyuman plastik. Beliau adalah lelaki sederhana yang mempunyai senyuman manis yang masa lapangnya gemar di isi dengan duduk dan merenung panjang keluar tingkap dari sudut bilik kebalnya. Dari situ jelas dia berasa sungguh sempurna.  Kehidupannya yang bosan menyebabkan dia  menjadi seorang manusia yang rajin. Orangnya juga riang tapi tersorok di sudut hati, beliau hanyalah seorang lelaki yang rapuh dan sengsara malah penuh dengan kesunyian. Bersusun soalan untuk Tuhan beliau fikirkan. Soalan khas untuk Tuhan. Hanya Tuhan punya jawapan. Tetapi masih sepi tanpa jawapan..

Lelaki sarkastik yang bersenyuman plastik. Hanya ingin menjadi somebody di mata manusia moden yang bertopeng aneh. Sudah terlalu lama menjadi nobody.  Walaupun  sudah dicurah segala peluh keringat, sudah ditanam berbatasan semangat. Masih tewas. Bangkit semula. Tetap juga tewas. Jauh sudah beliau ditinggalkan. Hampir saja luput namanya dalam senarai pelari masa dalam muka bumi ini dek kerana sering ketinggalan. Beliau bukan mahu menjadi paling hadapan. Hanya seiringan dengan sekelompok manusia moden dengan bertopeng aneh itu. Itu sahaja! Kembali bersusun soalan untuk Tuhan. Soalan khas untuk Tuhan. Hanya Tuhan punya jawapan. Tetapi masih sepi tanpa jawapan..

Lelaki sarkastik yang bersenyuman plastik  Beliau menyimpan seribu juta rasa berbunga untuk si anggun berhijab. Gadis pujaannya. Walaupun sudah dicurah segala hati segala isipadu tersembunyi. Tetap dipandang biasa di mata si anggun berhijab yang berseri. Bagai luka di sapu garam terkikis. Akur kekalahan teruk beliau kepada jejaka kacak melayu bernama inggeris. Beliau akui tiada apa yang boleh dibanggakan dengan dirinya yang sering ketinggalan dalam perlumbaan ilusi. Tetap dia yang beliau tunggu dalam muka bumi walau bukan dirinya yang dimimpi. Masih bernyala atau sudah mati segala diimpi? Mula bersusun soalan untuk Tuhan. Soalan khas untuk Tuhan. Hanya Tuhan punya jawapan. Tetapi masih sepi tanpa jawapan..

Lelaki sarkastik bersenyuman plastik  Merenung panjang dalam bilik kebalnya berseorangan. Beliau mula merasakan terlalu lama menunggu jawapan dari Tuhan. Harapnya agar dapat disegerakan. Untuk beliau mengetahui sendiri apa itu sebenarnya ‘hikmah disebalik kejadian’.  Setiap kesabaran ada batasan! Sudah bersusun soalan untuk Tuhan. Soalan khas untuk Tuhan. Hanya Tuhan punya jawapan. Tetapi masih sepi tanpa jawapan..

Lelaki sarkastik bersenyuman plastik. Mencapai sebuah kerusi mudah elastik.
Menyimpul satu ikatan mati. Cuba mengikat ke kipas silingnya sebuah tali.
Berdiri tegak di atas kerusi. Menghadap tenang suasana pagi.
Tak perlu lagi memendam duka. Ditemui sudah jalan segera.
Tersemat di tangan satu kertas penuh catatan. Soalan untuk ditanya kepada Tuhan.

Terjun atau tidak. Bukan lagi satu soalan. 
Tapi jawapan. Jawapan kepada dugaan Tuhan…